DEMI peminat setia Arsenal di negara ini, kelab Liga Perdana Inggeris itu berjanji akan menurunkan barisan terkuat apabila menentang skuad kebangsaan pada perlawanan Jelajah Asia Arsenal 2011 pada 13 Julai depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Ini kali kedua, Arsenal yang dikendalikan pengurus Arsene Wenger bertandang ke Kuala Lumpur selepas kali terakhir mereka menghiburkan lebih 80,000 penyokong pada 1999.
Ketua Pegawai Komersial Arsenal, Tom Fox berkata, siri jelajah ke Malaysia ini bukan saja tanda kelab itu mendekati dan juga menghargai peminat di negara ini malah ia juga antara persediaan menghadapi musim baru selepas menamatkan kempen liga musim ini di tangga keempat.
“Semua pemain, pengurus dan staf teruja untuk datang ke Malaysia, ini peluang terbaik untuk kelab ini menghargai sokongan peminat di sini. Sudah pasti kami akan membawa pasukan terbaik dan akan menurunkan kesebelasan utama kepada penonton yang hadir menyaksikan perlawanan itu nanti,” katanya pada sidang media pengumuman Jelajah Pra Musim Arsenal ke Malaysia semalam.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pro Events Group, Julian Kam yang bertindak selaku penganjur.
Selain itu kedudukan kapten Cesc Fabregas dalam skuad Arsenal menentang Harimau Malaya turut menjadi tumpuan media kerana pemain antarabangsa Sepanyol itu sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain termasuk Barcelona pada musim panas ini.
“Seperti yang diperkatakan pengurus sebelum ini, kami akan mengekalkan semua pemain dan dia (Fabregas) turut akan berada dalam jelajah skuad ini,” katanya.
Kehadiran Arsenal membolehkan jurulatih kebangsaan, Rajagobal mendapat tiga perlawanan terbaik dengan kelab EPL termasuk Liverpool dan Chelsea pada Julai ini buat menguji pemainnya.
Tiket menyaksikan perlawanan Arsenal menentang Malaysia berharga RM58, RM68, RM108 dan RM388 bermula 27 Mei ini di semua kedai Nike seluruh negara.
sumber Harian Metro