BERITA hari ini dikejutkan dengan paparan berkaitan letupan bom di Selatan Thailand serentak di beberapa lokasi. Antaranya di Yala dan juga Songkhla. Berita ini menjadi tumpuan apabila melibatkan rakyat Malaysia yang turut menjadi mangsa. 2 orang rakyat kita menjadi korban letupan tersebut manakala beberapa orang lagi rakyat Malaysia tercedera dan masih dirawat di Hospital berdekatan. Namun ianya melibatkan mangsa berbangsa Cina dan India dan setakat ini tiada mangsa berbangsa Melayu dilaporkan tercedera.
Letupan berlaku di wilayah majoriti Islam. Di Songkla, letupan bom berlaku di lokasi pelancongan popular, Bandar Hatyai. Ianya merupakan kawasan tumpuan rakyat Malaysia terutama untuk membeli belah. Di bandar itulah rakyat kita menjadi mangsa letupan. Hatyai merupakan sebuah bandar di dalam wilayah Songkla.
SYURGA BELI BELAH
Hatyai, sebuah bandar yang disebut syurga membeli belah di selatan Thailand. Oleh kerana itu, ianya menjadi tumpuan utama pelancong Malaysia. Antara kawasan tumpuan di bandar tersebut ialah di sekitar Plaza Lee Garden, hotel lokasi letupan tersebut. Sekitar plaza ini terutama hujung minggu, ianya akan dipenuhi para peniaga yang menghidupkan suasana malam sehingga lewat pagi. Jika terdapat sebarang aktiviti atau konsert persembahan berskala besar sekali pun di Hatyai, ianya sering dijalankan di hadapan Plaza Lee Garden. Hal itu yang menjadikan kawasan berkenaan meriah dengan pengunjung. Apatah lagi kebanyakan hotel dan kemudahan untuk pelancong terutamanya bertumpu di kawasan itu. Pendek kata, jika anda ke sana, anda akan dapat lihat muka-muka rakyat Malaysia memenuhi kawasan tersebut sehingga anda tidak risau untuk berjalan-jalan.
Jika kita sering mengikuti pakej pelancongan, majoritinya menjadikan Plaza Lee Garden, yang difahamkan milik rakyat Malaysia atau hotel berdekatan plaza tersebut sebagai penginapan utama. Plaza tersebut yang merupakan bangunan tertinggi di bandar Hatyai, sering kali penuh. Andai anda terus ke sana tanpa membuat tempahan terutama di hujung minggu, tiada bilik untuk anda lagi. Mungkin disebabkan lokasi yang strategik dan bilik yang selesa dengan harga yang murah (harga amat rendah berbanding Malaysia dengan keselesaan bilik yang sama).
ULANGAN KEJADIAN
Kejadian ini merupakan ulangan kejadian yang pernah berlaku pada tahun 2006. Letupan kali ini menurut pihak berkuasa dikatakan berpunca dari bom di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta di bawah Plaza tersebut. letupan yang mengakibatkan salur gas pecah seterusnya membawa asap tebal ke dalam bilik-bilik hotel berkenaan. Akhirnya ramai yang terperangkap akibat asap tebal.
Namun kita mengharapkan rakyat negara kita yang masih berada di sana selamat. Kepada keluarga yang ingin mendapatkan maklumat ahli keluarga mereka di sana boleh berhubung dengan pihak kedutaan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan