Rina sedang menyiapkan makan malam
ketika aku tiba di rumah. Aku memegang tangannya dan berkata, “Abang ada
sesuatu nak beritahu”. Dia membisu dan dapat ku lihat keresahan di
matanya. Tiba-tiba lidahku kelu. Tapi aku nekad untuk memberitahunya.
“Abang rasa kita sudah tidak serasi lagi. Kita cerai?”. Akhirnya,
terlepas jua beban di dada. Tapi ku lihat Rina tenang dan dia hanya
bertanya dengan lembut.
“Mengapa bang? Apa salah saya?”.
Giliran aku membisu dan ini menimbulkan kemarahan Rina. Air matanya mula
menitis. Aku tahu dia mahukan jawapan tapi aku tiada jawapannya. Yang
ku tahu, hatiku kini milik Tasya.
Cintaku bukan pada Rina lagi. Aku
katakanya padanya yang dia boleh ambil rumah dan kereta apabila kami
bercerai. Rina merenung wajahku. Pandangannya kosong. 10 tahun kami
berkahwin tetapi malam ni kami umpama orang asing. Aku kasihankannya
tetapi untuk berpatah balik tidak sesekali. Aku cintakan Tasya. Air
matanya yang sekian tadi bertakung mula mengalir deras. Sudah ku jangka.
Malah aku lega melihatnya menangis. Niatku untuk bercerai semakin jelas
dan nyata.
Keesokannya, Rina mengatakan dia
tidak mahu apa-apa dari penceraian kami melainkan tempoh 1 bulan. Dia
meminta bahawa dalam satu bulan itu kami teruskan rutin harian kami
seperti biasa sebagai suami isteri. Alasannya, anak kami bakal menduduki
peperiksaan dalam masa sebulan lagi dan dia tidak mahu anak kami
terganggu dengan penceraian kami. Aku bersetuju. Kemudian Rina
menyuruhku mengingat kembali saat aku mendukungnya ke bilik kami pada
malam pertama kami. Dia meminta untuk tempoh sebulan ini, aku
mendukungnya keluar dari bilik tidur kami ke pintu depan setiap pagi.
Pada ku memang tidak masuk akal. Tetapi aku tetap bersetuju. Aku
memberitahu Tasya permintaan Rina. Dia ketawa dan hanya mengatakan ini
semua kerja gila. Tidak kira apa muslihat Rina, dia tetap akan
diceraikan. Aku hanya diam membatu.
Semenjak aku menimbulkan isu
penceraian, kemesraan kami terus hilang. Hari pertama aku mendukungnya
keluar, aku merasa kekok. Rina juga. Anak kami bertepuk tangan di
belakang sambil ketawa dan berkata, “Ayah dukung ibu ya”. Kata-katanya
amat menyentuh hatiku. Mata Rina bergenang dan dengan lembut dia
memberitahuku agar jangan sampai anak kami tahu yang kami akan bercerai.
Aku mengangguk setuju. Aku menurunkannya di muka pintu. Dan kami
memandu berasingan ke tempat kerja.
Masuk hari kedua, hilang sedikit
rasa kekok. Rina bersandar di dadaku. Dapat ku cium harumannya. Dapat ku
lihat kedutan halus di wajahnya Aku sedar dia tidak muda lagi seperti
dahulu. Ternyata perkahwinan kami memberi kesan kepadanya. Selama satu
minit, aku tertanya-tanya apa yang telah aku lakukan.
Masuk hari keempat, aku dapat
rasakan keintiman kami telah kembali. Tanpa sedar hatiku berkocak
mengatakan mungkinkan cintaku masih padanya. Hari kelima dan keenam, aku
menyedari keintiman kami mula bercambah kembali. Aku tidak memberitahu
Tasya tentang perkara ini. Masuk hari-hari seterusnya, rutin ini jadi
lebih mudah malah aku nantikannya setiap pagi.
Suatu pagi, Rina sedang memilih baju
untuk dipakai. Katanya tiada yang sesuai. Dia mengeluh. “Semua baju
saya besar”. Baru ku sedar, dia semakin kurus. Mungkin itu jugalah
sebabnya aku semakin mudah mendukungnya. Tiba-tiba terlintas di
fikiranku. Mungkin Rina sedang menyembunyikan keperitan hatinya lantaran
sikapku selama ini. Tanda sedar aku merangkul tubuhnya dan membelai
rambutnya.
Kemudian, muncul anak kami di muka
pintu sambil berkata “ Ayah, cepat lah dukung ibu keluar”. Padanya,
melihat aku mendukung keluar isteriku setiap pagi adalah rutin
hariannya. Rina memanggil anak kami lalu memeluknya erat. Ku palingkan
mukaku kerana takut aku sndiri mengubah fikiran di saat ini. Aku
kemudian mendukungnya dan tangannya melingkari leherku. Tanpa sedar, ku
eratkan rangkulanku. Dapat ku rasakan badannya sangat ringan. Hari ini
genap sebulan. Di muka pintu aku menggenggam tangannya dan berkata
“Abang tidak sedar yang selama ini kita kurang keintiman”. Aku terus
melangkah ke kereta dan terus memandu ke pejabat. Sesampainya di
pejabat, aku terus ke bilik Tasya. Sebaik pintu terbuka, aku masuk dan
aku beritahu dia “Maaf Tasya. Saya tidak akan bercerai dengan Rina.
Sekarang saya sedar saya masih cintakan dia”.
Muka Tasya berubah merah. Tapi ku
kata jua,“Maaf Tasya. Saya dan Rina tidak akan bercerai. Perkahwinan
kami membosankan mungkin kerana saya tidak menghargai apa yang kami ada
dan kongsi selama ini, bukan kerana kami tidak lagi menyintai satu sama
lain”. Tasya menjerit sekuat hati dan aku terus melangkah keluar.
Aku kembali ke kereta dan niat
hatiku mahu pulang ke rumah dan memohon maaf dari Rina, isteriku. Aku
singgah di sebuah kedai bunga untuk membeli sejambak tulip merah
kesukaan Rina. Aku capai sekeping kad dan ku tulis, “Abang akan dukung
Rina setiap pagi hingga maut memisahkan kita”.
Setibanya di rumah, aku terus
berlari ke bilik kami dan mendapati Rina terbaring tenang di atas katil.
Ku belai wajahnya sambil memanggil namanya tapi tiada sahutan. Rina
kaku. Hatiku berdetak keras. Kini Rina pergi untuk selamanya. Perpisahan
yang ku pinta ternyata ditunaikan. Sekian lama Rina berperang dengan
KANSER RAHIM tetapi aku begitu sibuk dengan Tasya untuk menyedarinya.
Rina tahu bahawa dia akan mati tidak lama lagi dan dia mahu
menyelamatkan aku daripada reaksi negatif dari anak kami, sekiranya kami
tetap bercerai. Rina mahu sekurang-kurangnya di mata anak kami, aku
adalah suami yang penyayang.
Perkara-perkara mudah dan ringkas
yang anda lakukan bersama adalah yang sebenarnya penting dalam
perkahwinan. Bukan banglo, kereta, harta, dan wang di bank. Semua itu
hanya wujudkan persekitaran yang kondusif untuk kebahagiaan tetapi tidak
dapat memberi kebahagiaan pada kita.Jadi carilah masa untuk menjadi
sahabat kepada isteri/suami anda dan lakukan perkara-perkara kecil untuk
satu sama lain yang membina keintiman. Binalah kemanisan rumah tangga
anda. Hargailah setiap pengorbanan pasangan anda.
http://www.queachmad.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan