Terbaik Sepanjang Minggu

Isnin, 29 Ogos 2011

‘Jutawan segera’ dinar Iraq-hARIAN mETRO


Oleh Mohd Sabran Md Sani

KUALA LUMPUR: Satu laman web antarabangsa dikesan aktif menawarkan skim pelaburan cara mudah bagi mata wang dinar Iraq kepada individu yang mengidam menjadi ‘jutawan segera’ tanpa mempedulikan risiko bakal dihadapi

Dengan hanya bermodalkan minimum AS$500 (RM1,775), pelabur dijanjikan keuntungan berlipat ganda tanpa perlu bersusah payah memerah keringat atau melalui prosedur pelaburan biasa.

Untuk meyakinkan pelabur, penganjur skim mata wang dinar Iraq terbabit turut menggunakan beberapa teknik pemujukan termasuk mendakwa dinar itu diiktiraf sebagai mata wang bernilai tinggi di peringkat antarabangsa.

Laman web berkenaan mendakwa mata wang dinar baru Iraq itu, menggantikan dinar digunakan ketika era pemerintahan Allahyarham Saddam Hussein dan ia sedang dicetak sebuah syarikat di Hampshire, England.

Difahamkan, syarikat berkenaan yang menggunakan nama ‘De La Rue’, mencetak tujuh dominasi wang kertas pelbagai nilai membabitkan 50 dinar Iraq, 250, 500, 1,000, 5,000, 10,000 dan 25,000.

Bagi menarik pelabur antarabangsa termasuk dari Malaysia, penganjur skim pelaburan mata wang terbabit mendakwa semua dominasi mata wang baru dinar Iraq itu pertama kali dikeluarkan pada 15 Oktober 2003 dan mulai 15 Januari 2004, ia diiktiraf mewakili versi mata wang rasmi kerajaan Iraq.

Malah, ia turut mengakui not 500 dinar yang dikeluarkan Bank Pusat Iraq pada November 2004 boleh digunakan untuk transaksi di pasaran antarabangsa, selain cantik dan tahan lasak kerana dilengkapi beberapa ciri keselamatan.

Antaranya, mata wang berkenaan mempunyai kualiti ‘Swiss’, manakala ciri-ciri keselamatan yang ada padanya menyebabkan individu atau sindiket sukar menirunya untuk dipalsukan seperti wang kertas sedia ada.

Pemerhatian Harian Metro terhadap laman web berkenaan mendapati, mata wang dinar pelbagai denominasi dikeluarkan dalam beberapa warna iaitu ungu bagi 50 dinar, 250 dinar (biru), 500 dinar (hijau), 1,000 dinar (coklat), 5,000 dinar, 10,000 dinar (hijau) dan 25,000 dinar (merah).

Bagaimanapun, penganjur skim itu mendakwa tidak mampu memproses pesanan melalui kad kredit yang dibuat dari tiga negara iaitu United Kingdom, Thailand dan Malaysia, sebaliknya pelabur perlu memilih kaedah pembayaran melalui internet.

Penganjur skim terbabit mendakwa, nilai mata wang dinar Iraq itu mampu meningkat secara mendadak apabila negara sedang bergolak itu dijangka kembali aman dalam jangka masa terdekat.

Pemerhatian terhadap laman web itu turut mendapati perangkaan terhadap peningkatan nilai dinar Iraq di pasaran apabila kadar tukaran asing yang direkodkan Bank Pusat Iraq melalui nilai jualan lelong antara dinar Iraq dan dolar Amerika Syarikat (AS) berada pada tahap konsisten.

Buktinya, apabila rekod jualan bagi kedua-dua mata wang berkenaan oleh Bank Pusat Iraq tidak menunjukkan perubahan besar dan mampu membawa keuntungan kepada pemiliknya jika disimpan lebih lama.

Penemuan laman web terbabit membongkar kegiatan sindiket tertentu termasuk dari luar negara dikesan menawarkan urus niaga membabitkan mata wang dinar Iraq di negara ini, kononnya ia bakal memberi pulangan sehingga 150 kali ganda.

Aktiviti penipuan yang berlaku di Ipoh, Perak pada 1 Januari lalu seperti disiarkan Harian Metro, membuktikan kegiatan kurang sihat terbabit semakin berleluasa dan mendapat perhatian rakyat negara ini.

Urus niaga yang dijalankan menerusi laman web serta orang perseorangan yang dilantik ejen sindiket terbabit dengan menawarkan jualan dinar Iraq pada harga yang rendah sambil menawarkan pulangan sehingga 150 kali ganda.

Malah, sumber sebuah bank tempatan terkemuka menyatakan, dakyah yang disebarkan itu sebenarnya bertujuan menipu untuk mengaut keuntungan daripada orang awam.

Ini kerana dinar Iraq bernilai rendah dan pengurup wang di negara ini tidak berurus niaga dengan mata wang berkenaan.

Lebih malang apabila mereka yang sudah terpedaya seolah-olah tidak percaya 1,000 dinar Iraq dan 10,000 dinar Iraq yang disimpan tidak dapat ditukar di bank perdagangan dan di premis pengurup wang khususnya di Ipoh dan Kuala Kangsar sehinggakan pembeli mengalami kerugian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Arkib Blog

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...