PANDUAN IBADAT PUASA
PENDAHULUAN
Puasa ialah salah satu ibadat tertua dalam sejarah kehidupan manusia. Amalan ini telah dilakukan oleh umat-umat terdahulu sebelum Muhammad s.a.w. diutuskan menjadi rasul. Dalam ajaran Yahudi dan Nasrani, puasa adalah satu amalan yang wajib dilaksanakan. Orang-orang arab pada zaman jahiliah juga telah menetapkan hari-hari tertentu seperti hari Asyura dan lain-lain untuk mereka berpuasa. Begitulah juga dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini mengamalkan puasa dengan cara dan tujuan yang tersendiri.
Dalam syariat Islam, puasa mempunyai tujuan dan hikmah yang sangat besar. Ia boleh meningkatkan taqwa orang-orang mukmin terhadap Allah S.W.T. Ibadat ini mula disyariatkan sebagai satu kefardhuan bagi umat Islam ialah pada akhir bulan Syaaban tahun kedua Hijrah dan menjadi salah satu daripada Rukun Islam. Firman Allah S.W.T. seperti yang termaktub dalam al-Quran, Surah al-Baqarah, ayat 183.
“Wahai orang-orang yang beriman.! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana di-wajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda,
Islam itu dibina di atas lima perkara (rukun), iaitu mengucap syahadah bahawa sesungguhnya tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad ialah pesurah Allah, mendirikan sembahyang, memberi zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan dan mengerjakan haji ke Baitullah. (Hadis sahih, riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)
DEFINASI PUASA
Puasa ialah perkataan bahasa Melayu yang diterjemahkan dari kata bahasa Arab “as-saum” atau “as-siyam” Dari segi bahasa ia bererti menahan diri dari sesuatu perkara. Pada pengertian syarak ia bermaksud menahan diri dari makan, minum dan lain-lain perkara yang membatalkannya mulai dari terbit fajar sadiq sehinggalah ke waktu matahari terbenam.
JENIS PUASA
Puasa terbahagi kepada empat jenis, iaitu puasa wajib, puasa sunat, puasa makruh dan puasa haram. Puasa wajib ialah puasa pada bulan Ramadhan, puasa nazar dan puasa kifarat iaitu kifarat (denda) kerana membunuh orang atau kerana bersetubuh pada siang hari di bulan Ramadhan.
Puasa sunat di antaranya ialah puasa enam hari pada bulan syawal, puasa hari Arafah iaitu pada sembilan haribulan Zulhijjah bagi orang yang tidak mengerjakan haji, puasa hari Asyurah iaitu pada sepulah haribulan Muharram, puasa pada bulan Rejab dan Shaaban, puasa pada hari Isnin dan Khamis dan lain-lain.
Puasa makruh ialah puasa yang dilakukan terus menerus sepanjang tahun kecuali pada hari-hari yang diharamkan dan puasa pada hari Jumaat sahaja. Puasa haram ialah puasa pada dua hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya haji dan puasa pada Tasyrik, iaitu hari kesebelas, duabelas dan tigabelas Zulhijjah dan juga pada hari syak iaitu hari yang tidak dapat dipastikan sama ada sudah masuk bulan Ramadhan atau belum.
RUKUN PUASA
Rukun puasa ada dua perkara, iaitu: Berniat puasa, Niat puasa hendaklah dilakukan pada tiap-tiap malam sebelum hari puasa. Walaupun begitu ia boleh juga dilakukan pada malam sebelum hari pertama puasa. Contoh lafaznya ialah “ aku berniat berpuasa esok hari dan hari-hari seterusnya sepanjang bulan Ramadhan, wajib atasku kerana Allah Taala”. Tetapi jika ia tertinggal puasa, ia hendaklah berniat semula selepas hari yang ditinggalkan itu. Bagaimanapun sebaik-baik niat puasa ialah dilakukan pada tiap-tiap malam semasa memulakan makan sahur.
Menahan diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa mulai dari waktu terbit fajar (masuk waktu subuh) sehingga terbenam matahari (masuk waktu maghrib).
SYARAT WAJIB PUASA
1. Beragama Islam
2. Baligh atau sampai umur
3. Berakal sempurna
4. Berkuasa mengerjakannya
SYARAT SAH PUASA
1. Islam, Orang-orang bukan Islam tidak sah puasanya.
2. Mumaiyiz, yakni mengerti perbezaan yang baik dengan yang buruk atau yang bersih dengan yang kotor.
3. Suci daripada haid dan nifas bagi perempuan. Orang yang berhaid dan yang sedang berdarah nifas tidak sah puasa, tetapi wajib mengqadaq kan puasa yang tertinggal itu.
4. Puasa pada hari-hari yang dibenarkan sahaja. Tidak sah puasa pada dua hari raya iaitu hari raya puasa dan hari raya haji serta hari-hari tasyrik iaitu dari 11 hingga 13 haribulan Zulhijjah
PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
1. Niat membatalkan puasa. Berniat untuk berbuka atau membatalkan puasa dengan sengaja dan bersungguh-sungguh boleh membatalkan puasa sekalipun ia tidak makan atau minum atau tidak melakukan sesuatu yang boleh membatalkan puasa.
2. Makan atau minum dengan sengaja. Orang yang makan, minum atau merokok dengan sedar dan sengaja batal puasanya. Sekiranya perbuatan itu dilakukan dengan tidak sengaja atau terlupa, tidak batal puasanya dengan syarat ia segera meluahkan makanan atau minuman itu apabila ia sedar bahawa ia sedang berpuasa.
3. Muntah dengan sengaja. Muntah dengan sengaja bererti muntah yang berlaku kerana perbuatan sendiri, bukan kerana keadaan seperti mabuk dan sebagainya. Jika termuntah tanpa sengaja tidaklah membatalkan puasa.
4. Bersetubuh. Orang yang melakukan persetubuhan dengan sengaja dalam masa puasa, selain terbatal puasanya, ia diwajibkan membayar kifarat (denda). Kifaratnya ialah memerdekakan seorang hamba. Jika ia tidak berupaya, ia hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Sekiranya ia tidak berupaya juga, ia hendaklah memberi makan kepada enam puluh orang miskin atas kadar sekali seorang dengan nilai yang sepatutnya. Seseorang yang serta merta menghentikan persetubuhannya sebaik sahaja terbit fajar (masuk waktu subuh), sah puasanya. Tetapi keadaan ini hendaklah dijauhi bagi mengelakan terbatalnya puasa dan terkena kifarat.
5. Keluar mani dengan sengaja. Mengeluarkan mani dengan sengaja seperti dengan tangan, menonton gambar lucah atau lain-lain yang boleh mengeluarkan mani adalah membatalkan puasa. Walaubagaimanapun, jika mani terkeluar disebabkan bermimpi atau berkhayal tidaklah membatalkan puasa.
6. Keluar darah haid atau nifas. Sekiranya seseorang perempuan datang haid atau bersalin dan keluar darah nifasnya ketika ia sedang berpuasa maka batallah puasanya.
7. Gila. Jika kegilaan itu datang pada siang hari, batallah puasanya.
8. Memasukkan sesuatu benda ke dalam rongga badan. Memasukkan sesuatu benda secara sengaja ke dalam rongga badan seperti hidung, dubur dan telinga adalah membatalkan puasa.
ORANG YANG DIHARUSKAN BERBUKA PUASA
1 Orang Sakit. Seseorang yang tidak berupaya untuk meneruskan puasa kerana sakit atau sekiranya ia berpuasa juga akan menambahkan kesakitannya atau melambatkan sembuh penyakitnya. Ia dibolehkan berbuka dan wajib menggantikannya (qada).
2 Orang yang sedang dalam perjalanan jauh. Orang yang sedang musafir atau dalam perjalanan jauh iaitu tidak kurang daripada dua marhalah kira-kira 80.640 kilometer atau 50.086 batu harus berbuka puasa. Puasa yang ditinggalkan itu wajib diqada.
3 Orang yang uzur. Orang-Orang tua yang sudah lemah, orang-orang yang lemah kerana penyakit yang tidak ada harapan untuk sembuh atau kerana semulajadinya lemah diharuskan berbuka atau tidak berpuasa langsung. Tiap-tiap hari yang ditinggalkan itu wajib dibayar fidyah, iaitu satu cupak atau ¾ liter makanan yang boleh mengenyangkan bagi sesebuah negeri berkenaan. Orang-orang ini tidak diwajibkan mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu.
4 Orang hamil. Orang yang sedang hamil dan bimbang kalau ia berpuasa akan membahayakan dirinya, ia diharuskan berbuka, tetapi wajib diqadakan puasa yang ditinggalkan itu. Sekiranya ia bimbang akan membahayakan kandungannya seperti takut terjadi keguguran, ia harus berbuka tetapi wajib mengqadakannya serta membayar fidyah dengan secupak beras atau makanan yang mengenyangkan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan itu.
5 Ibu yang menyusukan anak. Orang yang menyusukan anak juga harus berbuka puasa dan mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu kalau ia bimbang dengan berpuasa akan menyebabkan mudarat kepada dirinya. Kalau ia bimbang memberi mudarat kepada bayi yang disusuinya seperti kurang air susu atau menjejaskan kesihatan bayinya itu, maka ia diwajibkan mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu serta membayar fidyah secupak makanan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkannya.
6 Wanita yang haid atau nifas. Wanita yang didatangi haid atau nifas wajib berbuka puasa kerana puasanya batal. Ia wajib mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu.
7 Orang yang pitam sepanjang hari. Orang yang pitam sepanjang hari harus berbuka puasa kerana puasanya batal. Ia wajib mengqadakan puasa yang ditinggalkan itu.
8 Orang gila. Orang gila juga harus berbuka puasa kerana puasanya batal. Ia juga wajib mengqadakan puasa yang tertinggal itu.
PERKARA YANG DISUNATKAN BAGI ORANG BERPUASA
1. Bersahur walaupun sedikit makanan atau minuman pada waktu akhir malam. Tujuannya ialah supaya menambahkan kekuatan berpuasa.
2. Menyegerakan berbuka setelah yakin matahari telah terbenam.
3. Berdoa sewaktu berbuka dan maksud doa : “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau aku berpuasa dan dengan rezeki Engkau aku berbuka, dahaga hilang dan urat-urat telah menyedut makanan, mudah-mudahan Allah menetapkan ganjaran-Nya”
4. Berbuka dengan buah korma atau sesuatu yang manis atau dengan air.
5. Memberi makanan atau minuman kepada orang untuk berbuka puasa.
6. Memperbanyakkan amalan kebajikan seperti bersedekah dan sebagainya terhadap kaum kerabat yang lemah dan fakir miskin.
7. Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. sama ada pada waktu malam atau siang. Ibadat yang dilakukan dalam bulan Ramadhan akan diberi pahala yang berlipat ganda.
8. Menjauhkan diri daripada percakapan-percakapan yang tidak berguna dan buruk seperti mengumpat, mencela dan sebagainya. Memang telah dimaklumi bahawa perkara-perkara itu dilarang, tetapi perkara-perkara seperti itu jika dilakukan pada bulan yang mulia ini dosanya lebih besar.
9. Menyucikan diri (mandi junub) bagi orang yang berhadas besar sebelum naik fajar.
PERKARA YANG MAKRUH BAGI ORANG BERPUASA
1. Berbekam atau mengeluarkan darah penyakit melalui kulit kepala.
2. Memamah sesuatu yang tidak boleh hancur.
3. Menyedut air yang berlebihan ketika berwuduk.
4. Mengucup isteri.
5. Masih dalam keadaan berjunub semasa sudah masuk waktu subuh.
6. Memberus gigi atau berkumur-kumur selepas tergelincir matahari.
BEBERAPA MASALAH MENGENAI PUASA
Melewatkan Qada Puasa
Orang yang melewatkan qada puasanya sehingga sampai puasa berikutnya, sedang ia mampu untuk berbuat demikian, ia wajib mengqadakannya serta membayar fidyah, iaitu memberi makan fakir miskin dengan kadar satu hari secupak beras atau yang sama dengannya.
Junub Sampai Pagi Hari Puasa
Ada orang menyangka bahawa berkeadaan junub sampai terbit fajar hari puasa membatalkan puasa. Sebenarnya sangkaan tersebut tidak benar. Tetapi sebaik-baiknya (sunat) orang yang berjunub segera mandi sebelum terbit fajar, kerana dikhuatiri terjadi hal yang membatalkan puasa.
Menggantikan Puasa Orang Lain
Orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sebab uzur, kemudian ia meninggal dunia sebelum sempat mengqadanya, umpamanya uzur yang terus menerus sampai mati, ia tidak berdosa. Puasa yang ditinggalkan itu tidak wajib diqada dan tidak pula wajib fidyah. Sekiranya ia meninggal dunia sesudah ada kemungkinan untuk mengqada, tetapi tidak dilakukannya, keluarganya wajib mengqada puasa yang ditinggalkan itu. Hal ini berdasarkan hadis dari Aisyah r.a. yang bermaksud..
“Rasulullah s.a.w. bersabda ; Sesiapa yang mati dan meninggalkan kewajipan puasanya, hendaklah walinya berpuasa untuk menggantikannya” (Riwayat Bukhari & Muslim)
Makan Kerana Lupa Atau Dipaksa
Orang yang termakan pada siang hari puasa atau menyangka belum naik fajar atau menyangka matahari telah terbenam, puasanya tetap sah dengan syarat ia hendaklah terus berhenti dan meluahkannya sebaik sahaja ia sedar. Demikian juga orang yang dipaksa makan.
Mimpi Berjimak Dan Keluar Mani
Orang yang bermimpi berjimak semasa ia tidur di siang hari, tidak batal puasanya. Demikian juga jika air maninya keluar kerana mengkhayalkan persetubuhan, tidak batal juga puasanya.
Mandi Atau Menyelam Kerana Panas - Orang yang mandi atau menyelam kerana kesangatan panas, tidak merosakkan puasanya.
Merasa Makanan - Merasa makanan dengan lidah dan tidak ditelan tidak membatalkan puasa.
DENDA-DENDA BAGI ORANG YANG TIDAK PUASA
Terdapat empat jenis denda yang dikenakan kepada orang-orang yang tidak berpuasa Ramadhan.
1. Kifarat berserta qada
2. Fidyah berserta qada
3. Fidyah
4. Qada
Kifarah Berserta Qada
Denda ini dikenakan kepada orang lelaki yang membatalkan puasanya melalui persetubuhan. Persetubuhan yang dimaksudkan ialah dengan memasukkan kemaluannya melepasi had tertentu (hasyafah) ke dalam faraj (qubul atau dubur) sama ada manusia atau haiwan, yang masih hidup atau telah mati, lelaki atau perempuan sekalipun tidak keluar mani. Walaubagaimanapun, persetubuhan orang-orang yang berpuasa seperti berikut hanya diwajibkan qada tanpa kifarat, iaitu :
1 Orang yang bersetubuh dengan memasukkan kemaluan ke dalam faraj sekadar belum sampai had yang ditentukan.
2 Orang yang disetubuhi.
3 Orang yang bersetubuh dalam keadaan lupa atau tidak sedar.
4 Orang yang tidak tahu batalnya puasa dengan kelakuan tersebut.
5 Kanak-kanak yang belum baligh.
6 Orang-orang yang berpuasa tanpa niat.
7 Orang-orang dalam musafir.
8 Orang sakit, dengan harapan persetubuhan itu akan menyembuhkan sakitnya.
9 Orang yang yakin ketika persetubuhannya itu masih malam hari, atau yakin masuk waktu malam sedangkan sebenarnya masih siang.
10 Orang yang berpuasa selain dari puasa Ramadhan seperti puasa nazar, puasa kifarat dan puasa qada sekalipun qada bagi puasa Ramadhan.
Kifarah puasa ada tiga peringkat. Pertamanya ialah memerdekakan seorang hamba yang beragama Islam, sempurna sifat dan tubuh badannya. Jika tidak mampu, hendaklah berpuasa dua bulan berturut-turut. Sekiranya terputus walaupun sehari, hendaklah diulangi puasanya semula. Jika tidak berupaya juga, hendaklah memberi makan fakir miskin seramai 60 orang dengan kadar secupak seorang. Kifarat puasa wajib ditunaikan, tetapi kewajipan tersebut terhapus sekiranya seseorang itu gila atau mati.
Fidyah Berserta Qada
Denda ini dikenakan kepada tiga golongan, iaitu orang yang melengah-lengaahkan qada puasa wajib tanpa apa-apa keuzuran sehingga masuk bulan Ramadhan pada tahun berikutnya dan orang-orang perempuan hamil atau sedang menyusukan anak yang bimbang tentang keselamatan bayi atau anaknya sekiranya ia berpuasa. Kadar fidyah ialah secupak makanan bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan. Di samping fidyah itu, puasa yang ditinggalkan itu wajib diqada.
Fidyah
Fidyah dikenakan kepada orang yang meninggalkan puasa-puasa wajib seperti puasa Ramadhan (seperti yang telah diterangkan) atau puasa nazar, puasa kifarat orang yang mati tanpa sebarang sakit atau uzur sebelum sempat mengqadakannya. Bagi orang yang telah mati itu menjadi kewajipan kepada keluarganya terutama walinya untuk membayar fidyah bagi simati sebanyak satu cupak makanan bagi tiap-tiap satu hari puasa yang ditinggalkan.
Qada
Qada ialah mengulangi berpuasa kerana menggantikan puasa Ramadhan yang ditinggalkan oleh sebab-sebab tertentu. Puasa qada boleh ditunaikan oleh orang lain dengan syarat orang yang berkenaan telah meninggal dunia dan tidak sempat mengqadakan puasanya sedang dia berkemungkinan mengqadakannya. Oleh yang demikian hendaklah diqadakan oleh keluarganya.
HIKMAH PUASA
1. Melahirkan kesyukuran terhadap Allah. Semua ibadat yang difardhukan mempunyai erti terima kasih kepada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t. telah melimpahkan berbagai nikmat yang tidak terbatas banyaknya kepada manusia. Sebagai tanda terima kasih itulah maka manusia, khususnya yang beragama Islam sewajibnya melaksanakan kefardhuan-kefardhuan yang telah ditentukan.
2. Puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi penyabar, tabah menanggung kesusahan dan penderitaan. Di dalam kehidupan manusia didunia ini, kesusahan dan penderitaan adalah perkara lumrah yang lazimnya ditempuhi oleh setiap orang. Orang-orang yang memiliki sifat sabar akan mudah menguruskan soal-soal kehidupannya dengan matang dan teratur. Selain mendapat faedah untuk diri sendiri, orang-orang yang memiliki sifat sabar akan dikasihi Allah.
3. Puasa juga dapat melatih seseorang itu mengawal nafsu buas dan ammarah yang suka melakukan kejahatan. Melalui puasa seseorang itu dapat membentuk personalitinya menjadi seorang yang baik dan dihormati.
4. Puasa dapat menghindar seseorang itu daripada bersikap tamak, gelojoh dan mementingkan diri sendiri. Sifat-sifat tersebut amat dikeji dan membawa kepada kerugian dan keburukan.
5. Puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi seorang yang amanah di dalam amal kehidupannya sehari-hari. Ini berlaku kerana seseorang yang berpuasa akan patuh kepada peraturan-peraturan puasa yang telah ditetapkan seperti menahan makan, minum dan lain-lain. Ia tidak akan melakukan semua itu sama ada di hadapan orang atau secara sembunyi. Latihan sebegini sudah tentu membentuknya menjadi seorang yang amanah.
6. Puasa dapat menanam rasa belas kesihan terhadap seseorang yang dalam kesusahan atau kemiskinan. Seseorang yang telah merasa sakit dan pedih kerana berlapar, akan dapat mengukur kesusahan dan penderitaan yang dialami oleh orang-orang fakir dan miskin. Oleh itu orang-orang fakir dan miskin, yang hidup melarat akan sentiasa ditolong bantu oleh orang yang berada. Kesedaran dan keadaan ini akan melahirkan keadilan dan kesejahteraan dalam kehidupan bermasyarakat.
7. Puasa memberi kesan yang baik kepada kesihatan tubuh badan. Ahli-ahli perubatan pada keseluruhannya telah mengakui bahawa puasa memberi kesan yang baik terhadap sesetengah penyakit. Para doktor juga berpendapat bahawa setiap manusia perlu sekali sekala berpuasa sekalipun ia tidak berpenyakit.
8. Puasa dapat mengujudkan perpaduan di kalangan umat. Apabila tibanya bulan Ramadhan, setiap umat Islam menyedari bahawa semua umat Islam di dunia ini akan berpuasa. Umat Islam diseluruh pelusuk dunia ini mengamalkan ibadat yang serupa sepertinya juga. Keadaan in sudah tentu mencetuskan dihati sanubarinya dengan rasa kesatuan dan kesamaan. Dengan ini terjalinlah rasa muhibah, kasih sayang, persaudaraan dan ingin tolong menolong antara satu dengan lain.
9. Sebagai kemuncaknya, puasa dapat membentuk seseorang itu menjadi muslim mukmin yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Kemuncak ini akan dapat dicapai apabila seseorang itu benar-benar tekun dan ikhlas menjalani ibadat puasa ini tanpa ada tujuan yang lain selain semata-mata kerana Allah s.w.t.
SEMBAHYANG TARAWIH
Sembahyang Tarawih ialah sembahyang sunat yang dikhususkan penunaiannya pada bulan Ramadhan sahaja. Para ulama terdahulu membaca al-Quran dari awal hingga akhir di dalam sembahyang Tarawih. Setiap malam dibacanya sekadar yang termampu sampai mereka khatamkan al-Quran itu pada malam terakhir Ramadhan.
Sesiapa yang tidak berpeluang untuk mengikuti jejak langkah para ulama salaf itu, janganlah pula sampai terlalu meringan-ringankan ibadat ini kerana ganjaran dan faedahnya sangat besar. Ibadat ini kerana ganjaran dan faedahnya sangat besar. Ibadat ini hendaklah dilakukan dengan sempurna, sama seperti sembahyang-sembahyang yang lain di mana mesti ditunaikan dengan baik berdirinya, bacaannya, rukuk dan sujudnya, khusyu’ dan tawaduknya dan juga terhadap semua rukun-rukun yang lain serta tertib-tertibnya.
IKTIKAF
Iktikaf ialah ibadat sunat yang dituntut oleh Islam. Iktikaf ialah berdiam atau berhenti di dalam masjid. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dan sangat digalakkan diamalkan pada bulan Ramadhan terutamanya pada sepuluh malam terakhir.
Iktikaf mempunyai empat rukun
1. Niat. Kalau iktikaf yang dinazarkan wajib berniat fardhu supaya berbeza dengan yang sunat.
2. Hendaklah dilakukan di dalam masjid. Tidak sah iktikaf di tempat lain selain dari masjid sekalipun tempat itu dijadikan tempat sembahyang jamaah seperti balai, madrasah atau surau.
3. Kadar diam atau berhenti ialah melebihi kadar tama’ninah.
4. Orang yang mengerjakan iktikaf itu mestilah Islam, berakal dan suci daripada hadas.
Perkara-perkara yang boleh memutuskan iktikaf ialah murtad, iaitu keluar dari Islam, mabuk atau hilang akal dan keluar haid atau nifas. Iktikaf menjadi batal apabila seseorang itu bersetubuh atau keluar dari masjid.
KEUTAMAAN SEPULUH HARI TERAKHIR DAN LAILATUL QADAR
Nabi Muhammad s.s.w. menggandakan amal dalam bulan Ramadhan lebih daripada bulan-bulan lain. Dalam bulan Ramadhan pula baginda lebih rajin beramal dalam masa sepuluh hari terakhir daripada keseluruhan bulan itu. Nyatalah tempoh tersebut mempunyai keutamaan dan fadhilatnya.
Para ulama berkata kemungkinan Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam yang ganjil dari sepuluh hari terakhir Ramadhan. Nabi Muhammad s.a.w. telah menganjurkan umat Islam supaya mencari malam Qadar tersebut, kerana orang yang beramal pada malam itu sangat besar ganjarannya dan diumpamakan sebagai lebih utama daripada seribu bulan, tidak kira sama ada ia mengetahui malam Qadar itu ataupun tidak.
Oleh itu setiap mukmin mestilah menyediakan dirinya untuk mencari malam tersebut bermula dari awal bulan lagi. Tidak bermakna hanya mencari-cari satu malam itu sahaja baru mahu beramal. Umat Islam sewajarnya memperbanyakkan amalan pada tiap-tiap malam pada bulan Ramadhan ganjarannya berlipat ganda jika dibandingkan dengan amalan pada bulan-bulan lain. Selain daripada itu amalan yang dilakukan setiap malam itu sudah pasti akan menemui satu malam yang dicari-cari itu.
Para ulama mempunyai pendapat masing-masing mengenai malam Qadar ini. Mengikut Imam Ghazali, malam ini boleh dikenali seperti berikut :
1. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau hari Rabu, maka Lailatul Qadarnya pada malam 29hb. Ramadhan.
2. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Isnin, maka Lailatul Qadarnya pada malam 21hb. Ramadhan.
3. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Selasa atau Jumaat, maka Lailatul Qadarnya pada malam 27hb. Ramadhan.
4. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Khamis, maka Lailatul Qadarnya pada malam 25hb. Ramadhan.
5. Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Sabtu, maka Lailatul Qadarnya pada malam 23hb. Ramadhan.
Selain daripada tanda-tanda itu, Lailatul Qadar juga boleh dikenali dengan tanda-tanda lain seperti malam itu langitnya kelihatan suci bersih, bulannya bercahaya segar, terang benderang, udaranya nyaman, tidak sejuk tidak panas, manakala matahari diwaktu pagi memancarkan cahaya yang seimbang seperti cahaya bulan purnama. Sungguhpun panduan dan gambaran telah diberikan oleh para ulama, namun tarikh atau bila berlakunya Lailatul Qadar itu adalah sukar dipastikan. Inilah rahsianya supaya umat Islam bersungguh-sungguh beramal ikhlas kerana Allah s.w.t. mudah-mudahan akan memperolehi faedah malam yang berharga itu.
FIRMAN ALLAH
“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu, Aku tidak sekali-kali mengkehendaki rezeki sedikit pun dari mereka dan Aku tidak mengkehendaki supaya mereka memberi Aku makan, sesungguhnya Allah, Dialah yang maha pemberi rezeki yang mempunyai kekuatan lagi sangat kukuh” (Adz-Dzaariyaat : 56-58)
“Dan jiwa serta penyempurnaannya (penciptaannya) maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu jalan kefasikan dan ketakwaannya, sesungguhnya beruntunglah orang yang menyucikan jiwa itu dengan sesungguhnya rugilah orang yang mengotorkannya” (Asy-Syams : 7 – 10)
“Tiap-tiap orang terikat dengan apa yang dikerjakannya” (Al-Muddatstsir : 38)
“Maka apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu untuk bermain-main (sahaja) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami, maka Maha Suci Allah raja yang sebenarnya tiada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) arasy yang mulia” (AL-Mukminun : 115-116)
“Barang siapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepada-Nya maka mereka adalah orang-orang yang mendapat kemenangan” (An-Nuur : 52)
Sabda Rasulullah s.a.w.
“Berfikirlah tentang kejadian ciptaan Allah dan jangan kamu berfikir tentang zat Allah kerana kamu tidak dapat mentakdirkan (menentukan zat) Allah sebenarnya”
Terbaik Sepanjang Minggu
-
Pakaian yang mempesonakan, yang menerima ulasan bercampur-campur daripada penonton di Ukraine Fashion Show, diselaputi dengan 50 ber...
-
Pendekar Laut Episod : 001-020 Episod 1 : http://adf.ly/AN8e1 Episod 2 : http://adf.ly/AN8e2 Episod 3 : http://adf.ly/AN8e3 Episod 4 :...
-
Selepas kehadiran wanita muda Melayu yang mengejutkan apabila dipilih sebagai calon untuk bertanding di pilihanraya kecil, Dyana Sofea...
-
On the 16 th of June 2011, we will be able to observe a total lunar eclipse starting from 1:25 a.m. to 7:01 a.m. In conjuction with To...
-
Tenaga Nasional Berhad (TNB) menasihati orang ramai supaya berwaspada terhadap pihak yang menyamar sebagai pekerja atau kontraktor merek...
-
ARRGGHHH...Penatnya sepanjang tahun 2010 ni. Banyak benda dah aku buat tp byk juga yg belum settle rasanya. Last2 trpksa juga la masukkn ke ...
-
HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT (HKR) YANG berlangsung di stadium Merdeka berjalan lancar dengan kehadiran puluhan ribu dan kemungkinan rat...
-
ESOK 25 OKTOBER 2012 bersamaan o9 ZULHIJJAH 1433 HIJRAH merupakan Hari Arafah yang mana kita disunatkan untuk berpuasa. Mari sama-sama k...
-
Jumlah kekayaan terkumpul 40 individu terkaya di Malaysia meningkat 30 peratus disebabkan oleh pasaran saham yang aktif dan pengembangan e...
-
SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya. Berikut ialah kandunga...
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Arkib Blog
-
►
2016
(3)
- ► Julai 2016 (1)
- ► Januari 2016 (1)
-
►
2015
(3)
- ► Disember 2015 (1)
- ► November 2015 (1)
- ► Januari 2015 (1)
-
►
2014
(62)
- ► November 2014 (3)
- ► Oktober 2014 (1)
- ► Julai 2014 (7)
- ► April 2014 (1)
- ► Februari 2014 (2)
- ► Januari 2014 (11)
-
►
2013
(254)
- ► Disember 2013 (8)
- ► November 2013 (12)
- ► Oktober 2013 (18)
- ► September 2013 (6)
- ► Julai 2013 (17)
- ► April 2013 (26)
- ► Februari 2013 (32)
- ► Januari 2013 (51)
-
►
2012
(307)
- ► Disember 2012 (31)
- ► November 2012 (12)
- ► Oktober 2012 (28)
- ► September 2012 (26)
- ► Julai 2012 (26)
- ► April 2012 (10)
- ► Februari 2012 (26)
- ► Januari 2012 (46)
-
▼
2011
(373)
- ► Disember 2011 (38)
- ► November 2011 (54)
- ► Oktober 2011 (16)
- ► September 2011 (38)
-
▼
Ogos 2011
(34)
- RUMAH TERBUKA AIDILFITRI 2011- still update
- Siapakah diantara penyampai ERA yang anda ingin je...
- ‘Jutawan segera’ dinar Iraq-hARIAN mETRO
- JAWATAN KOSONG: SENIOR ENGINEER/ ASST MANAGER
- RESEPI : AYAM BEREMPAH
- E-BOOK : MAJALAH PC OGOS 2011
- E-BOOK : MAJALAH APO PUASA 2011
- HIJRAH IWAN "DANGDUT"
- NEW FILM: RASUK (2011) DVDRip MKV
- MP3 : KOLEKSI LAGU RAYA
- BADI SUPER DAN TERUS MENGHANTUI CHONG WEI
- MISMAH OH MISMAH
- JAWATAN KOSONG: PEMBANTU TASKA
- new film:Tom and Jerry Meet Sherlock Holmes (2010)...
- NEW FILM: Thor (2011) PPVRip RMVB-KURYU
- TAWARAN MENYERTAI TENDER LOT PERNIAGAAN SEMPENA PE...
- Sahur Itu Penuh Barakah
- 7 SebabAnda perlu ambil Supplemen / Pemakanan Tamb...
- NEW FILM: LETHAL JUSTICE (2011) DVDRip RMVB
- NEW FILM: SUPER 8 (2011) DVDRip RMVB
- PERADUAN :Hang Tuah..Hang Jebat...Kita nie 'HANG' ...
- NEW FILM: Senario Opps Pocott (2011) SdtvRip MKV
- KELEBIHAN RAMADHAN
- KOLEKSI SOAL JAWAB SEKITAR IBADAH PUASA
- MEMORI SHAH ALAM MENGGAMIT DI BULAN RAMADHAN
- NEW FILM: Fist 2 Fist (2011) DVDRip RMVB
- MAKHLUK GANJIL DITANGKAP DI CHINA
- AMALAN BERSAHUR
- UPDATE: KOLEKSI NASYID RAMADHAN
- NEW FILM:Tactical Force (2011) BLUERAYRip RMVB
- SERBA SEDIKIT PANDUAN PUASA DI BULAN RAMADHAN
- NEW MOVIE : HOP 2011 dvdSCRN (MEDIAFIRE LINK) ANIM...
- POSA KE NI?
- NEW FILM: THUNDERCATS ERA BARU!! EPISOD 1 & 2
- ► Julai 2011 (42)
- ► April 2011 (30)
- ► Februari 2011 (23)
- ► Januari 2011 (11)
-
►
2010
(14)
- ► November 2010 (1)
- ► Oktober 2010 (4)
- ► September 2010 (5)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan